|
Danau Kawah Putih Yang Menakjubkan |
|
|
|
Gunung ini terletak tidak jauh dari kota Ciwidey dan perjalanan menuju ke kawasan ini begitu mempesonakan mata yang memandang. Ini kerana para pengunjung dapat menikmati keindahan alam apabila melepasi kebun strawberi, kolam air panas Cimangu dan sebagainya untuk ke Gunung Patuha.
Misteri dan Menakutkan
Untuk pengetahuan adik-adik, masyarakat dahulumenganggap Gunung Patuha sebagai kawasan yang bermisteri dan menakutkan (fearful) sehingga tiada seorang pun yang berani menjejakkan kaki ke kawasan tersebut. Pelbagai cerita timbul mengenai gunung ini dan ada yang menyatakan burung-burung yang terbang melepasinya akan mati. Walau bagaimanapun, semua cerita ini tidak dipercayai oleh seorang ilmuwan kelahiran Jerman, Dr. Franz Wilhelm Junghuhn. Pada tahun 1837, Junghuhn melakukan penelitian di Gunung Patuha untuk merungkai segala misteri yang menghantui penduduk di kawasan setempat ini. Ketika itulah beliau telah menemui Danau Kawah Putih. Mengikut penelitiannya disebabkan kawah ini terbentuk hasil letusan (eruption) gunung, kawah ini mengeluarkan semburan aliran lava dan gas yang berbau sehingga menusuk hidung. Oleh kerana itulah burung-burung tidak akan terbang melintasi permukaan danau ini.
Keunikan Kawah Putih
Kawah ini yang berada di kawasan Hutan Lindung Gunung Patuha juga dikenali sebagai Kawah Saat yang bermaksud ‘surut’ dalam Bahasa Sunda. Kawasan di sekitarnya yang sangat tenang dan mendamaikan pastinya meninggalkan kenangan yang indah kepada setiap pengunjungnya. Tetapi kebiasaannya para pelawat tidak akan berada lama di kawasan ini kerana cuacanya (weather) yang sangat sejuk. Menariknya Kawah Putih ini, suhunya akan turun ke 10ºC pada waktu siang dan 5ºC pada waktu malam apabila menjelangnya bulan Ogos.
Adik-adik, Danau Kawah Putih ini juga akan berubah warnanya seperti Danau Tiga Warna yang terletak di Pulau Flores, Indonesia. Menurut pengalaman pelancong yang pernah berkunjung ke sana, warnanya akan berubah kepada warna hijau epal apabila matahari panas terik dan berubah kepada warna coklat susu pada hari yang cuacanya terang. Bersesuaian dengan nama yang diberi, danau ini sering dilihat berwarna putih dan diselimuti dengan kabus (mist) yang tebal. Permukaan kawah ini serta pasir dan batu-batuan di sekitarnya juga berwarna putih. Kini, Danau Kawah Putih telah menjadi destinasi pilihan pelancong dan rakyat tempatan. Terdapat pelbagai kemudahan awam seperti gerai makanan, kawasan meletak kenderaan telah dibina untuk memberi keselesaan kepada para pelawatnya. Setiap pengunjung pastinya akan terpesona dengan keindahan Danau Kawah Putih dan seterusnya menimbulkan perasaan tenang.
|